Mengenali diri merupakan asas kepada kemajuan diri. Mengenali diri akan dapat membantu menggunakan potensi, minat, keupayaan diri secara optimum dalam pelbagai bidang kehidupan termasuk kerjaya, keluarga, kewangan dan kemasyarakatan. Dengan mengenal diri sendiri seseorang boleh mengetahui apakah yang menjadi matlamat hidupnya.
Menyedari akan kemampuan dan bakat yang ada pada diri sendiri serta tahu bagaimana menggunakan anugerah yang diberikan oleh Maha Pencipta, pasti seseorang itu akan mampu menemukan makna dan kepuasan di dalam usaha mencapai kejayaan kehidupannya.
Adakah anda benar-benar mengenali diri anda sendiri? Jika anda berupaya mengenali diri sendiri, pastinya juga anda berupaya memilih sama ada ingin membina kekuatan diri yang anda miliki ataupun menumpukan perhatian kepada kelemahan diri sendiri. Seperti kata-kata orang bijak pandai “Saya tidak dapat dan tidak perlu mengubah sesiapa, saya hanya perlu mengubah diri sendiri”.
Persoalannya, bagaimanakah kaedah untuk anda mengenali diri sendiri? Dewasa ini, dalam dunia maklumat dihujung jari terdapat pelbagai kaedah untuk mengenali diri anda. Salah satunya ialah dengan mengisi atau menjawab borang soal selidik mengenali personaliti diri. Terdapat pelbagai ujian personaliti yang boleh digunakan untuk mengenali diri anda. Pastikan ketika anda menjawab soalan, jawablah dengan jujur.
Satu lagi kaedah yang mudah dan ringkas untuk mengenali diri sendiri ialah dengan menjawab empat soalan asas tentang diri anda:
1) Apakah kelebihan atau kekuatan yang ada pada diri anda?
2) Apakah kekurangan atau kelemahan yang ada pada diri anda?
3) Apakah peluang yang anda ada pada kehidupan sekarang dan akan datang?
4) Apakah ancaman yang anda bakal hadapai pada kehidupan sekarang dan akan datang?
Menjawab sahaja soalan di atas tidak memadai, jika tidak disusuli dengan pelan tindakan. Iaitu apakah yang anda ingin lakukan dengan maklumat yang anda ada tentang diri anda. Kunci kejayaan dalam apa jua bidang ialah dengan ‘bertindak’!
No comments:
Post a Comment