Panduan buat pilihan tanpa sesal.
Pernah anda berasa di persimpangan ingin membuat keputusan terbaik, namun tidak mampu melihat masa depan. Lalu anda mengikut gerak hati, memejamkan mata dan bertawakal. Anda membuat pilihan dan mengharap itulah yang terbaik.
Bagaimana membuat keputusan yang baik tanpa merasa sangsi? Sebelum membuat keputusan, ada beberapa perkara yang perlu kita selidik dan lakukan bagi mengelakkan konflik yang mampu kita hindari.
- Analisi keadaan.
Sebelum kita membuat pilihan atau keputusan ada beberapa perkara yang perlu jelas dan soalkan seperti: Perlukah kita membuat keputusan? Kenapa kita perlu membuat pilihan? Apakah pilihan yang kita ada? Bagaimana kita boleh mengklasifikasikan pilihan itu?
- Bezakan antara 'kehendak' dan 'kemestian'.
Banyak perkara yang kita inginkan dalam hidup dinamakan 'kehendak'. Namun, kita sering terikat dengan perkara mandatori yang perlu kita lakukan yang kita kategorikan sebagai 'kemestian'. Timbanglah kedua-duanya dan buat pilihan yang terbaik dengan suara hati dan kawal emosi.
Ketika membuat pilihan kita harus menentukan apa yang kita lakukan benar-benar memenuhi kehendak dan keperluan, justeru dalam apa jua keadaan pun, kitalah yang akan menerima implikasinya. Dalam pada itu, cuba buat pilihan dalam keadaan tenang.
- Mencari maklumat tepat dan mengumpul data.
Carilah maklumat tepat mengenai pilihan yang ingin kita buat. Seandainya kita ingin menukar kerjaya, carilah maklumat mengenai (Contohnya, tuntutan, ganjaran, suasana dan budaya kerja) melalui saluran yang boleh dipercayai.
- Menimbang risiko.
Setiap pilihan yang ingin kita lakukan pasti ada risikonya. Jujurlah menganalisis keadaan dan menggariskan risiko yang mungkin kita hadapi. Selongkarilah risiko yang mendatang dan gariskan kemungkinan tanpa ingin menyoroknya.
- Berbincang dengan Pakar.
Ada waktunya, kita mungkin perlu berbincang dengan dengan pakar atau individu yang lebih mengetahui sesuatu perkara bagi membimbing kita membuat pilihan dan keluar daripada kemelut pilihan serta dilema yang sedang kita hadapi. Sebenarnya keputusan terletak pada tangan kita, Cuma pakar membantu kita melihat keadaan dengan lebih jelas.
- Memohon petunjuk dan berserah kepada Tuhan.
Pohonlah petunjuk daripada Allah untuk disempurnakannya selepas kita cuba mengusahakan yang terbaik. Allah adalah sebaik-baik pendengar dan petunjuk.
Selepas membuat pilihan, percayalah inilah pilihan yang terbaik buat diri kita. Hampir semua perkara yang kita lakukan dalam hidup ini berdasarkan pilihan yang kita buat dan yang tidak kita buat. Buatlah pilihan tanpa rasa kesal!
No comments:
Post a Comment