Wednesday, 4 May 2011

stRessssssss

6 Tips Mengurangkan Tekanan 

Tahukah anda stres atau tekanan boleh menyebabkan kenaikan berat badan? Apabila anda mengalami tekanan, badan anda akan menghasilkan hormon kortisol yang lazimnya akan meningkatkan keinginan anda menjamah makanan tinggi gula dan lemak. Jangan risau! Anda boleh mengelakkan penghasilan hormon kortisol dengan mengatasi stress yang dialami dengan 6 tips berkesan. 

1. Teknik pernafasan- Senaman yang melibatkan pernafasan seperti tai chi dan yoga boleh membangkitkan rasa tenang dan mengurangkan hormon stres. Bagi anda yang tiada masa untuk mengamalkan senaman, cuba luangkan 5 minit saja sehari untuk tarik nafas dalam-dalam perlahan-lahan dan lepaskan semula nafas perlahan-lahan. Insya Allah, anda akan berasa tenang. 

2. Senaman – Bagi sesetengah orang, perkataan senaman merupakan sesuatu yang formal dan memenatkan sehingga menyebabkan kita menghindarinya. Sebaliknya, cuba fikirkan senaman sebagai aktiviti fizikal atau pergerakan yang menyeronokkan seperti bermain bersukan dan berkebun. Libatkan anak-anak dan suami supaya aktiviti fizikal anda lebih bermakna di samping menggalakkan ahli keluarga bersenam. Luangkan 15-30 minit sehari sahaja sudah mencukupi untuk membakar kalori anda, bahkan juga membantu anda melawan segala hormon stres yang tidak diingini. 

3. Makan ikut masa – Bagi masyarakat kita, makan 3 kali sehari sudah mencukupi. Sebaliknya, pertimbangkan 5-6 kali hidangan kecil yang lengkap dengan protein dan karbohidrat supaya gula dalam darah stabil dan pengeluaran hormon stres dapat dielakkan. Anda akan mendapati tahap tenaga paling tinggi apabila anda mangambil makanan setiap 2-3 jam. Tapi INGAT! Ambil makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan kurang lemak dan gula dalam kuantiti yang berpatutan. Bak kata sunnah nabi, berhenti sebelum kenyang. Nescaya stres berkurangan, badan sihat dan pahala pun dapat kerana mengikuti sunnah nabi. 

4. Tidur yang mencukupi – Kajian perubatan telah menunjukkan bahawa tahap hormon kortisol meningkat apabila individu kurang tidur. Hormon kortisol yang tinggi menyebabkan keinginan terhadap makanan tinggi gula dan lemak juga meningkat di siang hari. Keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan mengalami stres dan juga risiko yang tinggi untuk peningkatan berat badan. Jadi, pastikan anda mendapat tidur yang mencukupi. Jangka waktu tidur yang mencukupi berbeza bagi setiap individu. Anda tahu anda cukup tidur apabila anda bertenaga dan bersemangat sepanjang hari. HATI-HATI! Jangan terlebih tidur! Terlebih tidur akan membuatkan anda berasa lesu dan lemah. 

5. Elakkan kafein, rokok dan alkohol – Pastikan anda tidak merokok serta mengambil kafein dan alcohol. Berdasarkan American Institute of Stress (AIS), ketiga-tiga faktor ini akan meningkatkan tahap kortisol, sekaligus menyebabkan stres dan kelaparan serta menurunkan paras gula dalam darah.

6. Ambil vitamin dan mineral – Banyak kajian yang telah membuktikan stres boleh menyebabkan penurunan vitamin dan mineral yang penting dalam badan. Sebanyak 9 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari disyorkan untuk memenuhi keperluan vitamin dan mineral dalam tubuh anda. Bagi saya, pengambilan suplemen atau multivitamin lebih mudah kerana untuk memenuhi 9 kali hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran akan menyebabkan saya mengalami tekanan juga! Dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan supaya anda mengambil suplemen yang bersesuaian dengan keperluan badan anda. 

Dengan mencuba tips di atas, anda akan berasa lebih tenang dan sihat! 



No comments:

Post a Comment